Dah bersemak dah blog ni… Resam
dah tinggi. Bagi abam peluang untuk update balik bahan-bahan dalam ni. Ada a
few post dah ready mode tapi lom publish. So untuk permulaaan restarting mode
ni, abam nak cite perihal permit.
Permit
Sebagai salah seorang penggiat
aktiviti outdoor, terutamanya pendaki, istilah permit bukanlah sesuatu istilah
yang baru. Namun adakah anda sedar bahawa terdapat beberapa jenis permit
seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Perhutanan Negara 1984 pindaan 1
Januari 2006. Artikel ini bertujuan mendedahkan para pembaca mengenai
jenis-jenis permit yang diperuntukkan dibawah Akta Perhutanan Negara APN).
Permit dari merujuk Kamus Dewan
Edisi ke Empat ialah dokumen rasmi (atau kebenaran bertulis) daripada pihak
berkuasa yang memberi seseorang hak untuk melakukan sesuatu. Dalam APN,
terdapat 3 jenis permit yang perlu anda ketahui seperti yang disebut dalam Seksyen
2 (1) – Tafsiran pada Bahagian I : Permulaan.
“permit
jalan” ertinya suatu permit jalan yang dikeluarkan di bawah seksyen 50;
Penggunaan
jalan hutan tanpa permit jalan dilarang
50. (1)
Tiada seorang pun boleh menggunakan apa-apa kenderaan bermotor di atas
mana-mana jalan hutan melainkan jika dia adalah pemegang suatu permit jalan
yang dikeluarkan oleh Pengarah.
(2) Tiap-tiap permit jalan hendaklah
seperti dalam Borang 7.
(3) Pengarah boleh mengecualikan
mana-mana orang atau golongan orang daripada subseksyen (1).
(4) Mana-mana orang yang melanggar
seksyen ini melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan
boleh didenda tidak melebihi *sepuluh ribu ringgit.
(5) Dalam seksyen ini “kenderaan
bermotor” ertinya tiap-tiap perihal kenderaan yang digerakkan dengan cara
pesawat yang terkandung di dalamnya dan dibina atau disesuaikan supaya boleh digunakan
di atas jalan, dan termasuklah treler.
“permit masuk” ertinya suatu
permit untuk memasuki hutan simpanan kekal yang dikeluarkan di bawah perenggan
47(1)(c);
Tidak
dibenarkan masuk ke dalam hutan tertutup tetapi ada
kecualian
tertentu
47. (1)
Tiada seorang pun boleh memasuki mana-mana hutan
tertutup kecuali—
(a) seseorang pemegang lesen, pekhidmat
atau ejennya, tetapi hanya bagi maksud menjalankan hak yang diberikan oleh lesen
itu;
(b) seseorang
pegawai hutan atau seseorang yang diberikan kuasa oleh mana-mana undang-undang
bertulis lain, tetapi hanya bagi maksud menjalankan fungsi yang dia
dilantik atau diberi kuasa;
(c) seseorang yang memegang permit
memasuki hutan simpanan kekal, tetapi hanya bagi tempoh yang disebut di dalam permit
itu;
(d) seseorang pemegang permit penggunaan,
pekhidmat dan ejennya, tetapi hanya bagi maksud menjalankan hak yang diberikan
oleh permit penggunaan itu; dan
(e) mana-mana orang lain yang dibenarkan
secara bertulis oleh Pengarah tetapi hanya bagi maksud yang dibenarkan itu.
(2) Suatu permit masuk hanya boleh
dikeluarkan oleh Pengarah atau oleh seorang pegawai hutan yang diberi kuasa
oleh Pengarah untuk mengeluarkannya.
(3) Tiap-tiap permit masuk hendaklah
seperti dalam Borang 6.
(4) Mana-mana orang yang melanggar
subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda
tidak melebihi *sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi **tiga tahun atau kedua-duanya.
“permit
penggunaan” ertinya suatu permit penggunaan yang dikeluarkan di bawah Bab 4
Bahagian IV;
Pendudukan,
atau penjalanan aktiviti di atas, hutan simpanan kekal dilarang
32. (1) Tertakluk kepada subseksyen
(3), tiada seorang pun boleh menduduki atau menjalankan apa-apa aktiviti atas mana-mana tanah
dalam kawasan hutan simpanan kekal, melainkan jika dia adalah pemegang suatu permit
penggunaan.
(2) Mana-mana orang yang melanggar
subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda
tidak melebihi *lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
**lima tahun atau kedua-duanya.
(3) Subsekyen (1) tidak terpakai bagi
pendudukan, atau penjalanan apa-apa aktiviti di atas, mana-mana tanah dalam
hutan simpanan kekal jika perbuatan atau aktiviti itu adalah—
(a) bagi menjalankan hak yang diberi atau melaksanakan kewajipan
yang dipertanggungkan oleh mana-mana lesen, lesen kecil, permit masuk atau
permit jalan; atau
(b) dibenarkan atau dikehendaki supaya dilakukan di bawah Akta
ini.
Kuasa
untuk membenarkan pendudukan, atau penjalanan aktiviti dalam, hutan simpanan
kekal
33. (1) Pihak Berkuasa Negeri boleh,
mengikut peruntukan Bab ini dan mana-mana kaedah, membenarkan pendudukan, atau penjalanan
apa-apa aktiviti di atas, mana-mana tanah dalam hutan simpanan kekal.
(2) Permit bagi menduduki atau
menjalankan apa-apa aktiviti di dalam mana-mana hutan simpanan kekal yang
dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah subseksyen (1) adalah dikenali sebagai
permit penggunaan.
Adapun permit-permit yang diwujudkan
bukanlah suatu jenis insurans, takaful ataupun perlindungan sekiranya terjadi
sebarang kejadian yang tidak diingini ketika melakukan aktiviti rekreasi di
dalam mana-mana hutan simpanan kekal. Segala risiko atas sebarang kejadian
tidak diingini sehingga menyebabkan kecederaan, kehilangan nyawa ataupun
kerugian adalah ditanggung sepenuhnya oleh individu itu sendiri.
Selain daripada mengelakkan didenda
atau dipenjarakan seandainya tidak memiliki permit ketika melakukan aktiviti
rekreasi di dalam hutan, seseorang yang memiliki sebarang bentuk polisi
insurans atau takaful seharusnya memahami dengan jelas setiap klausa yang
terdapat pada perjanjian polisi anda. Kebanyakkan polisi insurans atau takaful
dengan jelas ada menyebut sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang boleh
menyebabkan sebarang proses tuntutan tidak dilayan.
Dalam senario ini, seandainya berlaku
sebarang kejadian yang tidak diingini ketika melakukan aktiviti rekreasi dalam
hutan sehingga memerlukan pemegang polisi membuat sebarang tuntutan, permit
memainkan peranan yang paling utama. Seandainya ketika kejadian pemegang polisi
tidak mempunyai sebarang permit yang berkaitan, secara automatiknya dikira
melanggar undang-undang. Justeru risiko untuk tuntutan anda tidak dilayan
adalah sangat tinggi. Selain itu, sewaktu pendaftaran untuk mengambil sebarang
polisi, terdapat bahagian soalan yang bertanyakan tentang kecenderungan ke arah
aktiviti lasak. Jawapan yang diberikan juga boleh mempengaruhi proses tuntutan
anda dikemudian hari.
Selain menjadi suatu kebenaran untuk
melakukan menjalankan sebarang aktiviti di dalam hutan, secara tidak langsung
permit juga membolehkan proses mencari dan menyelamat dijalankan dengan lebih
pantas seandainya berlaku sebarang kes-kes kecemasan. Permit menjadi dokumen
rasmi yang membenarkan seseorang pemegang menjalankan aktiviti di sesuatu
kawasan hutan simpan seperti yang dinyatakan dalam permit. Perlu diingatkan bahawa
persempadanan hutan simpanan kekal adalah berbeza dengan persempadanan daerah. Justeru
menjadi suatu kewajipan bagi pemegang permit memaklumkan kepada pihak berkuasa
tempatan yang terhampir sebelum sesuatu aktiviti di dalam hutan dijalankan.
Sekian sahaja artikel mengenai permit.
Justeru permit adalah suatu kehendak atau keperluan? Tepuk dada tanya selera.
Jawapan ditangan anda. Jangan cakap abam tak inform.