Khamis, 7 Jun 2018

MASYARAKAT ORANG ASLI DI SEMENANJUNG MALAYSIA : SUATU PENGENALAN BUAT PENGGIAT AKTIVITI LASAK


Disclaimer: Artikel ini diolah oleh penulis dengan kaedah merujuk kepada bahan rujukan seperti yang dinyatakan di bahagian akhir artikel. Penulis bukanlah seorang ahli etnografi yang mempunyai kepakaran khusus mengenai masyarakat Orang Asli.

Artikel ini mengandungi:
  • Pengenalan
  • Sejarah Penggunaan Istilah ‘Orang Asli"
  • Pecahan Kaum Dan Maklumat Mengenai Setiap Suku.
  • Kepercayaan, Amalan dan Pantang-larang Masyarakat Orang Asli


PENGENALAN

Sememangnya umum mengetahui bahawa penduduk Malaysia merupakan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, agama dan budaya. Biarpun tidak menjadi kaum yang majoriti di semenanjung Malaysia, namun tidaklah bermakna Orang Asli dinafikan kewujudannya. Kewujudan masyarakat ini bukan sahaja diberi perhatian malahan kepentingan mereka jelas terbukti dengan penggubalan ordinan dan akta yang dikenali dengan nama AKTA 134: Akta Orang Asli 1954 ( disemak 1974).

        Umum juga mengetahui bahawa masyarakat Orang Asli cukup sinonim dengan kawasan hutan di Malaysia terutamanya di semenanjung. Dan adalah bukan suatu perkara baharu seandainya para penggiat aktiviti lasak terserempak dengan mereka ketika melakukan aktiviti di dalam hutan. Penulis sendiri mempunyai pengalaman terserempak dengan masyarakat Orang Asli ketika pendakian Gunung Tahan semasa dalam perjalanan menuju ke Kuala Tahan. Selain itu, sesetengah kawasan pendakian yang tidak popular yang pernah dijejaki oleh penulis adakalanya melalui kawasan perumahan ataupun jajahan orang asli seperti Bukit Bujang, Gunung Panggang Paku (perkampungan ini telah dipindahkan dari lokasi asal), Bukit Ulu Kalong, Bukit Hulu Telang, Bukit Arang dan beberapa lokasi.  Adalah menjadi kewajipan buat para pendaki tegar untuk mengalami perkara yang sama terutamanya dalam misi melengkapkan 7 puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia kerana sesetengah lokasi perlu melalui kawasan mereka seperti Gunung Yong Yap dan Gunung Chamah.



SEJARAH PENGGUNAAN ISTILAH ORANG ASLI.

Penggunaan istilah Orang Asli mula digunapakai seawal tahun 1950an semasa penubuhan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli  (JHEOA) yang kini dikenali dengan nama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Para etnografer yang awal menggunakan istilah “Semang” untuk kaum Negrito, “Sakai” untuk kaum Senoi dan “Jakun” untuk Proto-Malay  atau Melayu Asli. Panggilan Orang Asli itu sendiri menggambarkan mereka adalah penduduk asal yang tinggal di kawasan Semenanjung Malaysia.

        Istilah Orang Asli sememangnya lebih baik dan lebih sopan dari “Semang”, “Sakai” atau “Jakun” kerana istilah tersebut membawa konotasi yang kurang baik yang boleh membawa maksud “Hamba” atau status yang rendah. Terdapat juga penggunaan istilah lain suatu ketika dahulu bagi menggambarkan kaum ini seperti “Orang Darat”, “Orang Dalam”, “Orang Bukit”, “Orang Dusun” yang mungkin kepada lokasi penempatan mereka. Apapun terdapat etnografer yang menyatakan ketidaktepatan istilah tersebut berikutan terdapat segelintir daripada mereka yang mendiami kawasan persisiran pantai di negeri Johor dan Selangor.

Takrif Orang Asli.
Mengikut Akta Orang Asli 1954: Seksyen 3, penakrifan orang asli adalah seperti berikut:

a)   mana-mana orang yang bapanya ialah anggota kumpulan etnik orang asli, yang bercakap bahasa orang asli dan lazimnya mengikut cara hidup orang asli dan adat dan kepercayaan orang asli, dan termasuk seorang keturunan melalui jurai lelaki orang itu;

b)   mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa bayi oleh orang asli yang telah dibesarkan sebagai seorang orang asli, lazimnya bercakap bahasa orang asli, lazimnya mengikut cara hidup orang asli dan adat dan kepercayaan orang asli dan ialah anggota suatu masyarakat orang asli; atau

c)   anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan orang asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat bahawa anak itu lazimnya bercakap bahasa orang asli, lazimnya mengikut cara hidup orang asli dan adat dan kepercayaan orang asli dan masih lagi menjadi anggota suatu masyarakat orang asli.

Dalam seksyen yang sama turut menyatakan bahawa perubahan agama tidak menyebabkan seseorang itu tidak menjadi Orang Asli lagi dan sebarang persoalan mengenai seseorang itu Orang asli atau tidak hanya boleh diputuskan oleh Menteri.



PECAHAN KAUM DAN MAKLUMAT MENGENAI SETIAP SUKU.      

Secara amnya, masyarakat orang asli di Malaysia terdiri daripada 3 kaum/ bangsa utama. Dan setiap kaum/ bangsa mempunyai beberapa suku tersendiri. Berikut ialah maklumat mengenai kaum/ bangsa, suku dan maklumat mengenai cara hidup mereka.



Kaum/ Bangsa : Senoi

Orang-orang Senoi mendiami lereng Titiwangsa iaitu di pedalaman Negeri Perak, Kelantan dan Pahang. Terdapat 6 suku kaum di dalam rumpun bangsa Senoi iaitu Che Wong, Mahmeri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar

Suku
Maklumat
Temiar
·         Pemilihan penempatan Suku Bangsa Temiar di sesuatu tempat ditentukan oleh Penghulu dengan cara Berhalaq (jampi) atau mimpi.
·         Tempat yang hendak didiami jauh dari tanah perkuburan, bebas daripada adanya kayu keras seperti merbau dan sebagainya.
·         Tidak membuat penempatan di kawasan berpaya (takungan air) kerana ditakuti berpenunggu.
·         Kawasan air terjun dan sungai besar juga tidak sesuai kerana ditakuti ada puteri sungai/lata yang akan mengganggu.
·         Membina rumah daripada kayu (selain daripada kayu jenis keras) secara bergotong- royong.
·         Di peringkat awal petempatan, mereka membina rumah panjang. Setelah beberapa lama tinggal di rumah panjang terebut, barulah mereka berpindah dengan keluarga masing-masing dan membina rumah sendiri.
·         Mereka menyara keluarga dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuh-tumbuhan hutan.
Semai
·         Suku kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat.
·         Bancian pada tahun 1993 menunjukkan jumlah mereka telah meningkat lebih daripada 42,000 orang
·         Merupakan suku kaum Orang Asli yang terbesar jumlahnya. Mereka hidup bermasyarakat.
·         Sebuah kampung biasanya terdapat di antara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu atau Batin yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.
Semoq Beri
·         Orang Semoq Beri tinggal di kawasan pinggir Pahang dan Terengganu.
·         Satu ketika dahulu Orang Semoq Beri berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk meningkatkan ekonomi rakyat, kini Orang Semoq Beri sudah mula mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Di negeri Pahang terdapat terdapat 5 buah kampung di Jerantut yang berjumlah 95 keluarga seramai 735 orang.
·         Daerah Maran berjumlah 5 buah kampung terdiri 197 keluarga seramai 935 orang dan daerah Kuantan terdapat 2 buah kampung berjumlah 67 kelamin seramai 366 orang.
·         Di negeri Terengganu terdapat terdapat 1 buah kampung di Hulu Terengganu yang berjumlah 42 keluarga seramai 185 orang.
·         Daerah Kemaman berjumlah 2 buah kampung terdiri 69 keluarga seramai 284 orang.
Jahut
·         Suku Bangsa Jahut terdapat di daerah Temerloh dan Jerantut, Pahang.
·         Di Temerloh mereka tinggal di kawasan-kawasan yang dipanggil Kerdau-Paya Paleng, Paya Mengkuang, Kuala Krau – Penderas, Mendoi, Seboi, Pasu, Piau dan Galong.
·         Di Jerantut mereka tinggal di Sungai Kiol dan Kekwel (Kol).
·         Mereka menyara hidup dengan mencari rotan dan damar untuk dijual, di samping menangkap ikan, memburu binatang dan berladang dengan menanam padi huma, jagung dan ubi.
Mah Meri
·         Mah Meri bermakna ”Orang Hutan” sementara dalam istilah bahawa Mah Meri disebut ”bersisik”.
·         Mereka juga dikenali sebagai orang laut kerana mereka tinggal berhampiran dengan laut dan bekerja sebagai nelayan.
·         Tidak ada bukti sejarah yang tepat ditentang asal-usul mereka, walau bagaimanapun mereka ini dipercayai berhijrah dari pulau-pulau di selatan Johor ke pantai negeri Selangor kerana lari dari musuh.
·         Masyarakat Mah Meri telah mengalami perubahan dari segi pemikiran dan pembangunan hasil dari percampuran dengan masyarakat lain.
Che Wong
·         Tinggal kawasan pinggir di daerah Raub dan Temerloh, Pahang.
·         Satu ketika dahulu Orang Che Wong suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Che Wong sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Di Raub terdapat 4 buah perkampungan dan Jerantut 1 buah perkampungan Orang Che Wong yang berjumlah keseluruhannya 68 keluarga seramai 417 orang.




Kaum/ Bangsa: Melayu Proto/ Melayu Asli

Orang Proto-Malay tinggal berjiran dengan Orang Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Adat resam dan kebudayaan mereka boleh dikatakan ada persamaan tertentu dengan orang melayu

Suku
Maklumat
Kuala
·         Orang Kuala di percayai berasal dari kepulauan Riau-Lingga dan kawasan yang berhampiran dengan pantai Sumatera, Indonesia.
·         Mereka ini kebanyakannya tinggal menetap di kuala-kuala sungai di pesisiran pantai selatan negeri Johor.
·         Kini Orang Kuala tinggal menetap di daerah Batu Pahat dan di daerah Pontian.
·         Terdapat 315 keluarga Orang Kuala di daerah Batu Pahat dari 5 buah kampung yang berjumlah 1309 orang dan 4 buah kampung yang berjumlah 214 keluarga yang berjumlah seramai 1018 orang di daerah Pontian.
Kanaq
·         Orang Kanaq terdapat di kawasan pinggir di kampung Selangi, Mawai daerah Kota Tinggi Johor merupakan suku kaum yang terkecil bilangannya iaitu 17 keluarga seramai 65 orang.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Kanaq tinggal menetap di kampung Selangi.
Seletar
·         Orang Seletar atau “Sea Gypsies” merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai dan laut yang tinggal dalam perahu, di pulau, persisiran pantai, dan kuala sungai.
·         Kawasan utama petempatan mereka ialah di persisiran pantai Selatan Johor dan utara Singapura.
·         Bergantung kepada hasil laut dan menyebabkan mereka hidup berpindah-randah.
·         Perubahan dalam sosio-ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Kini mereka tinggal menetap di kawasan petempatan yang lebih teratur dan tersusun di Persisiran Pantai Selat Johor.
·         Mereka juga menangkap ikan menggunakan peralatan moden. Ada di antara mereka yang bekerja di kilang perindustrian.
·         Mereka mengamalkan animisme dan ada di antara mereka yang telah menganut Agama Islam.
Jakun
·         Orang Jakun (Orang Ulu} tinggal di selatan Semenanjung, berasal dari Yunan (Selatan Cina).
·         Masih mengamalkan animisme. Kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya.
·         Mereka percaya kampung mereka akan dilanda bencana sekiranya ada di antara mereka yang melanggar pantang larang.
Semelai
·         Taburan petempatan Orang Asli Semelai terdapat di Pahang Tengah seperti di Tasik Bera, Sg. Bera, Sungai Teriang, Paya Besar dan Paya Badak serta di sempadan Pahang menghala ke Negeri Sembilan seperti di Sg. Serting, Sg. Lui dan Ulu Muar.
·         Dari segi rupa dan bentuk fizikal Orang Asli tidak banyak bezanya dengan Orang Melayu.
Temuan
·         Tinggal di Selangor, Melaka, Pahang, Daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan.
·         Suku Bangsa Temuan di Negeri Sembilan mengamalkan Adat Pepatih dan tidak banyak bezanya daripada adat Suku Bangsa Temuan di negeri lain.




Kaum/ Bangsa : Negrito

Kaum Negrito terbahagi kepada 6 suku, iaitu Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq.

Suku/Kaum
Maklumat
Kensiu
·         Tinggal di kawasan pinggir di daerah Baling, Kedah.
·         Satu ketika dahulu Orang Kensiu suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan pembangunan kepada rakyat, kini Orang Kensiu sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Hanya terdapat sebuah perkampungan Orang Kensiu di daerah Baling, negeri Kedah iaitu Kampong Lubuk Legong yang dilengkapi dengan kemudahan bekalan api letrik, bekalan air dan lain-lain prasarana seperti Balairaya dan Pusat Bimbingan Kanak-kanak. Punca pendapat utama adalah hasil tanaman Getah yang di bangunkan oleh RISDA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli. Sehingga kini terdapat 39 keluarga seramai 204 orang.
Kintak
·         Tinggal di kawasan pinggir di daerah Gerik, Hulu Perak.
·         Satu ketika dahulu Orang Kintak suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan pembangunan kepada rakyat, kini Orang Kintak sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Terdapat sebuah perkampungan Orang Kintak terdiri dari 25 keluarga yang berjumlah 112 orang
Lanoh
·         Tinggal di kawasan pedalaman daerah Hulu Perak negeri Perak.
·         Satu ketika dahulu Orang Lanoh suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Lanoh sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Kini terdapat 3 buah perkampungan yang berjumlah 359 orang
Jahai
·         Tinggal di Perak, terutama di kawasan Hulu Perak iaitu Banun, Sungai Tiang dan Persisiran Empangan Temenggor.
·         Di Kelantan pula, mereka bertumpu di Sungai Rual dan Jeli di Hulu Kelantan.
·         Pada amnya rupa paras orang Jahai seakan-akan Orang Habsyi atau Negro di Afrika, Kaum Andaman dan Aeta di Filipina.
·         Kebanyakannya tinggal di kuala sungai dan persisiran tasik.
·         Rumah mereka berbentuk pisang sesikat yang dibina daripada buluh dan beratapkan daun bertam dan tepus.
·         Suku bangsa Jahai suka membuat rumah yang ringkas kerana mereka mengamalkan cara hidup berpindah-randah.
·         Mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat apabila berlaku kematian, penyakit ganjil, perbalahan kecil, kerana keperluan makanan dan pertambahan penduduk.
·         Kini, amalan berpindah-randah semakin kurang diamalkan kereana mereka telah menerima bantuan daripada agensi kerajaan.
Mendriq
·         Tinggal di kawasan pedalaman Kelantan.
·         Satu ketika dahulu Orang Mendriq suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Mendriq sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Sebuah perkampungan Orang Mendriq di daerah Gua Musang terdiri 14 keluarga yang berjumlah 82 orang.
Bateq
·         Tinggal di kawasan pedalaman utara Pahang, kawasan barat Terengganu dan selatan Kelantan.
·         Satu ketika dahulu Orang Bateq suka berpindah randah mencari tempat yang sesuai untuk mencari bahan-bahan makanan.
·         Semenjak kerajaan memberi penumpuan untuk memberi kesejaheraan kepada rakyat kini Orang Bateq sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum.
·         Negeri Pahang terdapat 7 buah kampung, 5 buah kampung di daerah Lipis, 2 buah kampung di daerah Jerantut yang berjumlah 100 keluarga seramai 550 orang.
·         Negeri Kelantan terdapat 4 buah kampung di Pos Lebir yang penduduknya 84 keluarga berjumlah 413 orang.
·         Di negeri Terengganu terdapat 12 keluarga seramai 41 orang.







KEPERCAYAAN, AMALAN DAN PANTANG-LARANG MASYARAKAT ORANG ASLI.

Berikut antara kepercayaan, amalan dan pantang-larang masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang mungkin masih diamalkan di sesetengah kawasan. Sebagai pendaki atau individu yang melakukan aktiviti rekreasi di kawasan hutan, adalah lebih afdal seandainya mengetahui perkara-perkara ini lebih-lebih lagi apabila melalui kawasan mereka ataupun menggunakan khidmat kemahiran mereka.


1.   Peranan dewa-dewa, roh, keramat dan sebagainya

·         Pandangan hidup mereka banyak dipengaruhi oleh keadaan fizikal alam sekeliling di persekitaran yang didiami
·         Hutan rimba, gunung, bukit, petir dan sebagainya dianggap sebagai mempunyai makna tersendiri
2.   Batin/ tok batin
·         Lambang sikap kerjasama masyarakat Orang Asli
·         Ketua Puak/ Suku
·         Menjaga dan menjamin ketenteraman anak buah
·         Penghubung kepada masyarakat luar
·         Berkuasa menentukan dan menetapkan peraturan berkaitan puak
·         Menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan anak buah
3.   Bomoh/ Tok Halaq/ Poyang
·         Menjadi pengantara agama dan kepercayaan
·         Berperanan dalam menentukan aspek ritual dalam penyaluran kepercayaan mereka
4.   Lawatan dan Kunjungan
·         Lebih cenderung ketika waktu petang kerana siang hari – pagi, selalunya sibuk dengan kerja masing-masing
·         Dianggap kurang sopan sekiranya tetamu menolak jamuan hidangan dari tuan rumah
5.   Kelahiran
·         Dilarang memuji kecantikan tubuh badan anak yang baru lahir
·         Suami tidak boleh menjala ikan
·         Suami dan isteri dilarang memakan daging rusa dan kijang
6.   Perkahwinan
·         Kedua pengantin terpaksa mendengar nasihat yang diberikan daripada sesiapa sahaja yang hadir terutamanya yang disampaikan oleh golongan tua mengenai tanggungjawab suami isteri
·         Tetamu lazimnya akan hadir tanpa jemputan rasmi
·         Perkahwinan antara saudara sepupu dilarang sama sekali
·         Pengantin lelaki dan perempuan seharusnya berasal dari kawasan berlainan
·         Upacara perkahwinan kaum Mah meri:
-    Bermula sebelum malam
-    Pengantin lelaki diiringi ke atas pelamin sambal diapit oleh 2 kanak-kanak lelaki dan 3 wanita
-    Tok batin akan memulakan upacara dengan mengasap muka pengantin lelaki sebagai tanda hormat
-    Tok batin kemudiannya membawa 2 batang lilin dan digerakkan secara bulatan ke muka pengantin lelaki. Upacara ini dilakukan supaya moyang juga menjadi saksi perkahwinan
7.   Kematian
·         Sesiapa yang meneruskan pekerjaannya setelah mengetahui adanya kematian akan ditimpa malapetaka atau jatuh sakit
·         Semua kanak-kanak dicontengkan telinga mereka dengan arang yang telah dijampi dan turut disapu di bulu kening, dada dan tapak kaki sebagai ‘pengadang’. Bertujuan mengelakkan segala hantu syaitan yang membunuh si mati mengacau mereka. Pengadang penting terutamanya di waktu malam.
·         Setelah pengebumian mayat, keluarga si mati akan menghantar makanan serta memasang api di tepi kubur pada tiap-tiap hari selama 6 hari
·         Unggun api turut dipasang di bawah rumah si mati dalam tempoh yang sama
·         Pasir halus yang telah dijampi ditabur di sekeliling dinding rumah dengan tujuan terkena mata segala hantu syaitan yang masih ada berkeliaran di kawasan rumah.
·         Amalan ini dijalankan selama tempoh 6 hari kerana roh si mati dipercayai berada di kawasan rumah dan kubur dalam jangka masa tersebut.
8.   Kulit Kura-kura
·         Membakar kulit kura-kura untuk menghalang rebut
·         Semasa mantera dibava, kulit kura-kura dicampur dengan serbuk lada, daun lada dan kulit pinang.
·         Menurut mereka bunyi asal halilintar adalah perlahan manakala suara kura-kura dipanggil ‘kura-kura badi’ adalah nyaring.
·         Kulit kura-kura yang dibakar boleh menghalau gajah
·         Masyarakat Orang Asli percaya bahawa jika menghina sifat kura-kura yang berjalan perlahan dan bersuara perlahan akan ditimpa musibah
9.   Minyak cenuai (Minyak Pengasih)
·         Diperbuat dari bunga cengloi dan hanya Tok Halaq/ bomoh atau Poyang yang dapat memperolehi bunga ini
·         Percaya dengan memetik dan menyebut nama orang yang disukai beberapa kali dan kemudiannya diproses menjadi minyak, maka orang tersebut dengan serta-merta akan menyukai kita
10.        Buluh Perindu
·         Berfungsi sebagai pemikat
·         Hanya terdapat di pergunungan tertentu
·         Sesiapa yang ingin mendapatkan buluh ini perlu memohon kebenaran penunggu gunung
11.        Buah Apa-apa (Durian Hutan)
·         Diguna oleh suku kaum temuan dan Mah Meri sebagai tangkal untuk menghalang gangguan toyol dan syaitan
·         Bagi masyarakat Semai, dilarang menjadikan buah ini sebagai bahan gurauan terutamanya pada waktu petang kerana dikhuatiri ribut taufan akan melanda
12.        Cendawan gajah
·         Digunakan sebagai bahan dalam upacara jampi untuk menghalang angina kencang atau guruh melanda sesuatu kawasan
13.        Kepala Ikan Haruan
·         Digantung di dalam rumah untuk menghalang anasir jahat
·         Bentuk ikan lebih kecil daripada ikan haruan yang biasa dan mudah didapati di sungai-sungai kecil
14.        Kayu Pulai
·         Digunakan untuk membuat ‘patung ganti nyawa’ dan ‘balai lancang’ di dalam rumah sewang
·         Dipercayai mempunyai semangat yang tersendiri.
·         Dalam upacara sewang, kayu pulai akan digantungkan di tengah-tengah balai lancang dan dibiarkan bergoyang untuk menarik minat Puteri Semangat
·         Tok halaq akan menjalankan upacara tukar ganti dengan memindahkan penyakit daripada badan pesakit ke dalam patung
·         Patung itu kemudiannya di buang ke dalam tempat yang ditetapkan


Rujukan:
5.   www.data.gov.my
6.   Data Terbuka Kerajaan : Kementerian Pembangunan Luar Bandar
7.   Mengenali Sejarah, Budaya Orang Asli: Berita Harian, 21 jun 2015
8.   Akta Orang Asli 1954
9.   Kirk Endicott, "The Impact of Economic Modernization on the Orang Asli of Northen Peninsular, Malaysia
10.        Iskandar Carey, " Orang Asli: The Aboriginal"
11.        Tka Daud, "Adat dan kepercayaan Orang Asli"