Rabu, 30 Mei 2018

Permit : Kehendak atau Keperluan?


Dah bersemak dah blog ni… Resam dah tinggi. Bagi abam peluang untuk update balik bahan-bahan dalam ni. Ada a few post dah ready mode tapi lom publish. So untuk permulaaan restarting mode ni, abam nak cite perihal permit.


Permit
Sebagai salah seorang penggiat aktiviti outdoor, terutamanya pendaki, istilah permit bukanlah sesuatu istilah yang baru. Namun adakah anda sedar bahawa terdapat beberapa jenis permit seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Perhutanan Negara 1984 pindaan 1 Januari 2006. Artikel ini bertujuan mendedahkan para pembaca mengenai jenis-jenis permit yang diperuntukkan dibawah Akta Perhutanan Negara APN).
Permit dari merujuk Kamus Dewan Edisi ke Empat ialah dokumen rasmi (atau kebenaran bertulis) daripada pihak berkuasa yang memberi seseorang hak untuk melakukan sesuatu. Dalam APN, terdapat 3 jenis permit yang perlu anda ketahui seperti yang disebut dalam Seksyen 2 (1) – Tafsiran pada Bahagian I : Permulaan.

permit jalan ertinya suatu permit jalan yang dikeluarkan di bawah seksyen 50;

Penggunaan jalan hutan tanpa permit jalan dilarang
50. (1) Tiada seorang pun boleh menggunakan apa-apa kenderaan bermotor di atas mana-mana jalan hutan melainkan jika dia adalah pemegang suatu permit jalan yang dikeluarkan oleh Pengarah.
(2) Tiap-tiap permit jalan hendaklah seperti dalam Borang 7.
(3) Pengarah boleh mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada subseksyen (1).
(4) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi *sepuluh ribu ringgit.
(5) Dalam seksyen ini “kenderaan bermotor” ertinya tiap-tiap perihal kenderaan yang digerakkan dengan cara pesawat yang terkandung di dalamnya dan dibina atau disesuaikan supaya boleh digunakan di atas jalan, dan termasuklah treler.

 permit masuk ertinya suatu permit untuk memasuki hutan simpanan kekal yang dikeluarkan di bawah perenggan 47(1)(c);

Tidak dibenarkan masuk ke dalam hutan tertutup tetapi ada
kecualian tertentu
47. (1) Tiada seorang pun boleh memasuki mana-mana hutan
tertutup kecuali—
(a) seseorang pemegang lesen, pekhidmat atau ejennya, tetapi hanya bagi maksud menjalankan hak yang diberikan oleh lesen itu;
 (b) seseorang pegawai hutan atau seseorang yang diberikan kuasa oleh mana-mana undang-undang bertulis lain, tetapi hanya bagi maksud menjalankan fungsi yang dia
dilantik atau diberi kuasa;
(c) seseorang yang memegang permit memasuki hutan simpanan kekal, tetapi hanya bagi tempoh yang disebut di dalam permit itu;
(d) seseorang pemegang permit penggunaan, pekhidmat dan ejennya, tetapi hanya bagi maksud menjalankan hak yang diberikan oleh permit penggunaan itu; dan
(e) mana-mana orang lain yang dibenarkan secara bertulis oleh Pengarah tetapi hanya bagi maksud yang dibenarkan itu.
(2) Suatu permit masuk hanya boleh dikeluarkan oleh Pengarah atau oleh seorang pegawai hutan yang diberi kuasa oleh Pengarah untuk mengeluarkannya.
(3) Tiap-tiap permit masuk hendaklah seperti dalam Borang 6.
(4) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi *sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi **tiga tahun atau kedua-duanya.

“permit penggunaan” ertinya suatu permit penggunaan yang dikeluarkan di bawah Bab 4 Bahagian IV;

Pendudukan, atau penjalanan aktiviti di atas, hutan simpanan kekal dilarang
32. (1) Tertakluk kepada subseksyen (3), tiada seorang pun boleh menduduki atau  menjalankan apa-apa aktiviti atas mana-mana tanah dalam kawasan hutan simpanan kekal, melainkan jika dia adalah pemegang suatu permit penggunaan.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi *lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi **lima tahun atau kedua-duanya.
(3) Subsekyen (1) tidak terpakai bagi pendudukan, atau penjalanan apa-apa aktiviti di atas, mana-mana tanah dalam hutan simpanan kekal jika perbuatan atau aktiviti itu adalah—
(a) bagi menjalankan hak yang diberi atau melaksanakan kewajipan yang dipertanggungkan oleh mana-mana lesen, lesen kecil, permit masuk atau permit jalan; atau
(b) dibenarkan atau dikehendaki supaya dilakukan di bawah Akta ini.


Kuasa untuk membenarkan pendudukan, atau penjalanan aktiviti dalam, hutan simpanan kekal
33. (1) Pihak Berkuasa Negeri boleh, mengikut peruntukan Bab ini dan mana-mana kaedah, membenarkan pendudukan, atau penjalanan apa-apa aktiviti di atas, mana-mana tanah dalam hutan simpanan kekal.
(2) Permit bagi menduduki atau menjalankan apa-apa aktiviti di dalam mana-mana hutan simpanan kekal yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah subseksyen (1) adalah dikenali sebagai permit penggunaan.

Adapun permit-permit yang diwujudkan bukanlah suatu jenis insurans, takaful ataupun perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini ketika melakukan aktiviti rekreasi di dalam mana-mana hutan simpanan kekal. Segala risiko atas sebarang kejadian tidak diingini sehingga menyebabkan kecederaan, kehilangan nyawa ataupun kerugian adalah ditanggung sepenuhnya oleh individu itu sendiri.

Selain daripada mengelakkan didenda atau dipenjarakan seandainya tidak memiliki permit ketika melakukan aktiviti rekreasi di dalam hutan, seseorang yang memiliki sebarang bentuk polisi insurans atau takaful seharusnya memahami dengan jelas setiap klausa yang terdapat pada perjanjian polisi anda. Kebanyakkan polisi insurans atau takaful dengan jelas ada menyebut sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang boleh menyebabkan sebarang proses tuntutan tidak dilayan.

Dalam senario ini, seandainya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ketika melakukan aktiviti rekreasi dalam hutan sehingga memerlukan pemegang polisi membuat sebarang tuntutan, permit memainkan peranan yang paling utama. Seandainya ketika kejadian pemegang polisi tidak mempunyai sebarang permit yang berkaitan, secara automatiknya dikira melanggar undang-undang. Justeru risiko untuk tuntutan anda tidak dilayan adalah sangat tinggi. Selain itu, sewaktu pendaftaran untuk mengambil sebarang polisi, terdapat bahagian soalan yang bertanyakan tentang kecenderungan ke arah aktiviti lasak. Jawapan yang diberikan juga boleh mempengaruhi proses tuntutan anda dikemudian hari.

Selain menjadi suatu kebenaran untuk melakukan menjalankan sebarang aktiviti di dalam hutan, secara tidak langsung permit juga membolehkan proses mencari dan menyelamat dijalankan dengan lebih pantas seandainya berlaku sebarang kes-kes kecemasan. Permit menjadi dokumen rasmi yang membenarkan seseorang pemegang menjalankan aktiviti di sesuatu kawasan hutan simpan seperti yang dinyatakan dalam permit. Perlu diingatkan bahawa persempadanan hutan simpanan kekal adalah berbeza dengan persempadanan daerah. Justeru menjadi suatu kewajipan bagi pemegang permit memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan yang terhampir sebelum sesuatu aktiviti di dalam hutan dijalankan.

Sekian sahaja artikel mengenai permit. Justeru permit adalah suatu kehendak atau keperluan? Tepuk dada tanya selera. Jawapan ditangan anda. Jangan cakap abam tak inform.