Isnin, 9 Julai 2012

Biarlah Si Luncai Terjun Dengan Labu-labunya



Manusia adalah salah satu ciptaan yang sangat kompleks dan unik untuk setiap mereka. Namun demikian kekompleksan sifat ini kadangkala menjengkelkan sesetengah sang pemerhati, sang pengkriti dan sang pentaksir. Kalam bermadah bukan untuk mengetengahkan isu kekurangan manusia dalam memenuhi kehendak yang lain sebaliknya kalam bermadah lebih memfokuskan kepada sifat manusia yang sangat terserlah keluncaiannya.

Tipulah dalam mengharungi 365 hari setahun, 24 jam sehari, 60 minit sejam dan 60 saat seminit langsung tidak pernah terserempak dengan golongan-golongan si luncai ini. Pengklasifikasian si luncai ini bukanlah sukar seperti mencarik bulu ayam sebaliknya ianya sangat mudah seperti bernafas gayanya. Secara amnya peribahasa biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya merujuk kepada manusia yang sudah acapkali dinasihati, ditegur akan perilaku negatif yang dilakukan namun dipandang enteng dan hanya menunggu masa agar mereka terus terduduk. dalam kata lain peribahasa ini digunakan apabila golongan penasihat sudah naik lesu menasihati si luncai ini,

Keterjebakan perkara negatif dan ketaksuban si luncai dalam melakukannya sebenarnya kadangkala mengundang doa kecelakaan percuma dari pemerhati.

"Hendak ditegur sudah lali, biarlah masa yang menentukan segalanya". Barangkali itulah ayat-ayat terdetik di hati para pemerhati.

Jelek, jijik dan sadis apabila melihat si luncai berterus-terusan menghambakan diri dengan dunianya namun apakan daya sang pemerhati sudah letih hendak bersuara. Lagi mengguriskan hati apabila si luncai bukan sahaja melemparkan kata-kata negatif kepada sang pemerhati sebaliknya membuat tuduhan melulu seperti mengatakan sang pemerhati berdendamlah, berhasad dengki dan berjuta ribuan tuduhan liar yang ditembaknya.

Kadangkala terdetik di sanubari sang pemerhati kaedah terbaik menyedarkan si luncai namun apakan daya penyelesaian buntu juga tidak bernoktah yang tertibul.

Jumaat, 6 Julai 2012

Maruah Sekilo Seringgit...Nilai Sebuah Maruah


Kuala Lumpur hanyalah sebuah kota metropolitan yang tidak pernah mengenal penderitaan warganya dalam menghadapi kadar inflasi yang hanya akan menurun jika dunia mahu kiamat barangkali. Kehendak sosial memaksa warganya bekerja membanting tulang empat kerat yang keding untuk mengekalkan status kehidupan.

Dalam liku-liku kehidupan yang penuh pancaroba, pasti ada yang tewas dalam proses revolusi ekonomi dan pasti ada yang berjaya mengekalkan kedudukan mereka serta pasti ada yang berjaya berganjak dari ke suatu tahap yang lebih baik dan mungkin ke tahap yang lebih mudarat. Persoalannya jalan manakah yang dipilih dalam meneruskan persaingan hidup di kota yang tidak pernah sunyi dengan masalah sosial ini?

Cuba lihat di sekeliling kita. Di kota ini ada yang mengikat perut demi sesuap nasi semata-mata menjaga status sosialnya. Tidak kurang dengan golongan yang biar papa asal bergaya atau dalam kata lain golongan yang poket kosong tapi gaya umpama orang berada. Ada yang menyedari hakikat kemampuan dengan berbelanja ikut kemampuan.

Jangan pelik jika melihat orang yang kerjanya biasa-biasa tapi gayanya sangatlah keberadaan. Tipulah kalau anda tidak pernah meragui fakta ini. Manakan bisa seorang lepasan ijazah sarjana muda yang baru saja mula bekerja sudah mampu memakai kereta import dan bisa mempersiapkan diri dengan gajet terkini. Makan dan minumnya pula bukan di tempat semberono paling kurang mestilah "Kopi Putih Bandar Tua". Menyewanya pula mestilah di kawasan perumahan yang sekurang-kurangnya ada kawasan letak kereta khas. Eh dia bukanlah dari anak orang-orang berada.

Duit mereka dari mana?

Kalam terdetik bertanya, murahnya nilai maruah mereka. Bagi kalam biarlah susah mana pun diri ini, kalam lebih rela menahan perut dari lapar dahaga, menjual semua koleksi peribadi, buat kerja tambahan asalkan tidak menjual diri. Eh, kasar sangat bunyinya. Biar susah asal halal. Jangan senang sebab ditaja. Kalau ditaja keluarga sendiri pun beringatlah, takkanlah hendak menyusahkan keluarga sampai ke liang lahad. Kalau ditaja biasiswa pula nanti kena berkhidmat dengan mereka yang menaja. Tapi bukanlah seperti ditaja orang yang mengharap balasan. Renung-renungkanlah yer.



Rabu, 4 Julai 2012

Talam Penempel ...Kawan atas kepentingan (Friends with benefit)


Dalam setiap evolusi kehidupan, sudah pasti kita akan mengalami proses pertambahan kenalan baru. Jarang terjadi proses pengurangan kenalan melainkan and hanya berada dalam satu takuk populasi yang statik dan tidak pernah berganjak ke takuk lain. Barangkali populasi takuk tempat anda berada berkurangan sebab semuanya berpendirian macam anda dan apabila seorang demi seorang mati maka berkuranglah kenalan anda.

Baik, berbalik kepada topik yang hendak diperkatakan. Seperti yang diuar-uarkan dalam proses evolusi kendiri pelbagai ragam manusia akan kita temui dan pastinya golongan ini akan kita jumpa tidak kira di populasi manapun anda berada waima seorang saja.

Mungkin kita tidak sedar akan kewujudan golongan ini dalam kalangan kenalan yang kita ada, namun anda kenalah bijak mengesan kewujudan fizikal mereka. Cuba anda renungkan, dalam proses evolusi kehidupan anda, ada atau tidak kawan-kawan anda yang menempel bagai isi dengan kuku setiap kali anda menaiktaraf kehidupan anda?

Bukan hendak menghasut apatah lagi berkata buruk tapi kadangkala golongan ini lebih kurang macam sang penglipur lara. Berbaik dengan kita dengan tujuan senang hendak bersosial, berjalan dan sebagainya. Tapi pabila kita merudum satu haram tidak cuba mendekati kita walau semilimeter pun.

Golongan ini wajar kita gengkan bersama golongan penglipur lara. Gelaran yang paling sesuai untuk golongan ini mungkin talam penempel. Manakan tidak mereka ini akan sentiasa mengiyakan segala kata kawan-kawan yang ada kepentingan demi menjaga kebaikan dan kehendak sosial mereka.

Ahad, 1 Julai 2012

Penglipur Lara dan Pendengar Persona


Bukan mengharap tapi menunggu sesuatu yang tidak kunjung tiba.

Dalam kehidupan sehari-harian pasti kita akan terjumpa atau berjumpa dengan golongan yang menanam tebu di tepian bibir. Bukan sedikit tapi kadangkala terlampau banyak sehingga lali dengan sikap golongan ini.

Mereka bukan saja mampu menyusun ayat-ayat yang sangan puitis, malahan pemilihan kata yang dibuat juga amatlah memberikan kesan yang sangat besar impaknya. Mungkin salah kita menjadi individu pendengar setia yang sudah disuntik pelali dengan kata-kata tersebut. Namun jauh di dasar hati pasti kita akan termakan kata-kata tersebut biarpun hanya satu peratus dari jutaan kata yang mereka madahkan.

Golongan yang bijak menggota janji manis tapi gagal melaksanakannya membuatkan kita-kita yang menjadi pendengar persona kerap kecil hati. Masakan tidak sekejap yang dikatakan mungkin menjadi puluhan minit. Nanti yang dikatakan bisa bermakna suatu masa yang tidak dapat dikenalpasti.

Perihal ini mungkin dipandang enteng bagi sesetengah individu terutapa golongan ini, tapi tidak bagi kita yang sudah menjadi golongan pendengar persona. Bagai mengharap bulan tidak kunjung tiba sebenarnya kalau hendak memastikan para penglipur lara ini mengotakan kata-kata mereka.

Barangkali membiarkan orang menunggu bukan dosa dan menjadi penunggu setia pengota kata juga bukan pahala. Kalam berbicara hanya meluahkan kata. Andai maut bisa menggu pasti si maut terpaksa menunggu lama untuk membolehkan menarik nyawa individu yang disayangi oleh golongan penglipur lara ini. Masakan tidak, pesanan ringkas mengkhabarkan kenazakan seseorang sudah dihantar namun balasan sang penglipur lara pasti mengatakan dalam perjalanan mahupun sebentar lagi akan tiba.

Renung-renungkan, fikir-fikirkan...

Seminit pagi pendengar persona amat berharga dibandingkan dengan seminit ucapan madah penglipur lara. jika tidak mampu mengota kata, usah bermimpi membariskannya. Telan saja kata jika tidak mampu melakukannya.