Kuala Lumpur hanyalah sebuah kota metropolitan yang tidak pernah mengenal penderitaan warganya dalam menghadapi kadar inflasi yang hanya akan menurun jika dunia mahu kiamat barangkali. Kehendak sosial memaksa warganya bekerja membanting tulang empat kerat yang keding untuk mengekalkan status kehidupan.
Dalam liku-liku kehidupan yang penuh pancaroba, pasti ada yang tewas dalam proses revolusi ekonomi dan pasti ada yang berjaya mengekalkan kedudukan mereka serta pasti ada yang berjaya berganjak dari ke suatu tahap yang lebih baik dan mungkin ke tahap yang lebih mudarat. Persoalannya jalan manakah yang dipilih dalam meneruskan persaingan hidup di kota yang tidak pernah sunyi dengan masalah sosial ini?
Cuba lihat di sekeliling kita. Di kota ini ada yang mengikat perut demi sesuap nasi semata-mata menjaga status sosialnya. Tidak kurang dengan golongan yang biar papa asal bergaya atau dalam kata lain golongan yang poket kosong tapi gaya umpama orang berada. Ada yang menyedari hakikat kemampuan dengan berbelanja ikut kemampuan.
Jangan pelik jika melihat orang yang kerjanya biasa-biasa tapi gayanya sangatlah keberadaan. Tipulah kalau anda tidak pernah meragui fakta ini. Manakan bisa seorang lepasan ijazah sarjana muda yang baru saja mula bekerja sudah mampu memakai kereta import dan bisa mempersiapkan diri dengan gajet terkini. Makan dan minumnya pula bukan di tempat semberono paling kurang mestilah "Kopi Putih Bandar Tua". Menyewanya pula mestilah di kawasan perumahan yang sekurang-kurangnya ada kawasan letak kereta khas. Eh dia bukanlah dari anak orang-orang berada.
Duit mereka dari mana?
Kalam terdetik bertanya, murahnya nilai maruah mereka. Bagi kalam biarlah susah mana pun diri ini, kalam lebih rela menahan perut dari lapar dahaga, menjual semua koleksi peribadi, buat kerja tambahan asalkan tidak menjual diri. Eh, kasar sangat bunyinya. Biar susah asal halal. Jangan senang sebab ditaja. Kalau ditaja keluarga sendiri pun beringatlah, takkanlah hendak menyusahkan keluarga sampai ke liang lahad. Kalau ditaja biasiswa pula nanti kena berkhidmat dengan mereka yang menaja. Tapi bukanlah seperti ditaja orang yang mengharap balasan. Renung-renungkanlah yer.
0 ulasan :
Catat Ulasan