Ahad, 15 Disember 2013

Hiking Log: Bukit Tabur West (Crystal Hills)

Bukit Tabur/ Crystal Hills

Pertama kali mendengar nama bukit ini pasti ada antara kita yang tertanya-tanya tentang kewujudan bukit ini. Lokasinya terletak di Taman Melawati, Gombak yang juga dikenali penduduk tempatan sebagai Bukit Hangus dan berhampiran dengan Empangan Klang Gate.Diwartakan sebagai salah satu bukit yang membentuk permatang kuarza terpanjang di dunia lebih kurang 16 km, berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 dan ianya boleh dilihat dari lebuhraya Kuala Lumpur Middle Ring Road (MRR2).

Terdapat 2 laluan pendakian yang berbeza iaitu Bukit Tabur East dan Bukit Tabur West selain Tabur far dan Tabur Extreme. Dan sebagai permulaan, kami hanya berkesempatan menaiki Bukit Tabur West. Laluan pendakian dimulakan di sebelah kiri pintu Empangan Klang Gate.

Ketika menaiki laluan, kami merekodkan perjalanan memakan masa lebih kurang 2 jam 30 minit untuk sampai ke puncak terakhir bagi sekumpulan 5 orang. Bagi yang belum pernah menaiki bukit ini adalah digalakkan untuk sentiasa berwaspada ketika mendaki. Secara amnya trek Bukit Tabur ini terdiri daripada beberapa puncak (tak kira, tapi banyak gak r). Justeru ketika menyeberangi dari satu puncak ke satu puncak, sila pastikan anda berada di laluan yang selamat dan bergerak dengan berhati-hati. Sejujurnya, elakkan berpakaian terlalu ketat kerana pendakian memerlukan anda menggunakan 100% pergerakkan sendi kaki anda.

Paling utama anda perlu mahir menumpukan berat badan anda pada kaki atau tangan sahaja dalam sesetengah laluan. Laluan yang akan anda lalui tidaklah sesenang Bukit Broga. Perjalanan naik ini banyak memerlukan kemahiran rock climbing. Bagi yang gayat, jangan terlalu tengok bawah sebab itu lagi memudahkan anda panik. Trek perjalanan menjadi lebih mencabar setelah anda tiba di puncak pertama kerana perjalanan seterusnya memerlukan anda melalui rabung di sepanjang bukit ini dan terpaksa melangkah dari puncak ke puncak selain memanjat. Beberapa kes direkodkan sama ada kes jatuh atau kematian di kawasan ini.

Digalakkan memulakan perjalanan selepas solat subuh seandainya mahu melihat matahari terbit. Pastikan anda mempunyai rehatyang secukupnya dan mengambil sarapan serta sentiasa mempunyai bekalan air yang mencukupi. Permukaan bukit yang berbatuan ini senang mengundang kecederaan seandainya ada bahagian kulit anda yang terdedah bergesel dengan permukaannya. Bagi yang mendaki secara berkumpulan, sila kenalpasti kekuatan ahli kumpulan. Elakkan daripada meninggalkan rakan-rakan yang tidak biasa di belakang. Ini untuk mengelakkan peristiwa tidak diingini terjadi. Beberapa maklumat mengenai tragedi di trek ini pernah tercatat di dalam akhbar selain boleh didapati di laman sengsawang.

Perjalanan turun pula mungkin lebih memudahkan dan trek turun yang melalui kebun buah ini cuma memakan masa lebih kurang 49 minit. Bagi mereka yang pernah mendaki Bukit Broga, trek perjalanannya hampir sama dan memerlukan kemahiran mengawal berat badan sepenuhnya kepada kaki. Akar kayu yang ada di sepanjang trek banyak membantu perjalanan kerana akar kayu ini membentuk permukaan bertangga, namun di sesetengah kawasan akar kayu ini menyukarkan perjalanan. Untuk membolehkan anda mendapat pandangan jelas mengenai trek perjalanan, silalah lihat foto-foto di sini.

Dan yang paling utama, kami dijamukan dengan buah rambutan oleh tuan rumah yang rumahnya terletak bertentangan dengan pintu keluar trek turun (kebun buah). Yang tidak seronoknya, tuan rumah turut menceritakan tragedi kemalangan di bukit ini yang baru terjadi seminggu lalu. Kes jatuh dan mati. Ayark..Sekian...

*dah sampai puncak last baru faham kenapa nama die bukit tabur.. batu bertaburan..puncak bertaburan..gaung bertaburan..trek bahaya wor

Trek pendakian naik:













































Trek Turun:








1 ulasan :

cik liyana . berkata...

Macam menakutkan je nak naik. Memang macam rock climbing ohhh :(