Rabu, 11 Disember 2013

Review Filem - The Hobbit: The Desolation of Smaug

Filem yang berdurasi hampir 2 jam 40 minit ini adalah kronologi daripada filem sebelum ini yang bertajuk The Hobbit : An Unexpected Journey.

Perjalanan cerita ini bercorak pandang hadapan. Terdapat beberapa babak yang menggunakan teknik penceritaan oleh pelakon untuk  menyelitkan unsur imbas belakang tanpa bantuan lakonan. Dalam kata lain, teknik imbas belakang itu wujud hanya untuk menambahbaik perjalanan cerita.

Filem ini dimulakan dengan perjalanan sekumpulan kaum Hobbit dan ahli sihir kelabu dalam usaha mencari sejenis batu permata untuk membolehkan raja mereka menaiki takhta. Perjalanan mereka ditempuhi dengan beberapa halangan seperti diburu oleh Orc, bertemu dengan waris terakhir kaum Shapeshifters, berpecah dengan ahli sihir ketika dalam perjalanan, terperangkap di dalam hutan puaka, ditangkap oleh lelabah gergasi di dalam hutan, dipenjarakan oleh kaum Elf dan beberapa lagi kronologi yang menambahbaik pergerakkan plot cerita jika dibandingkan dengan cerita sebelum ini. Pada filem ini juga diperkenalkan beberapa watak yang turut memainkan peranan dalam filem trilogi The Lord of The Ring.

Dari aspek penyusunan plot pula, boleh dikatakan cerita ini mengetengahkan beberapa titik puncak. Adengan pertarungan turut diselitkan dan semestinya membuatkan cerita ini bergerak dengan menarik. Secara keseluruhan, pengarah berjaya memanipulasikan plot penceritaan dengan baik. Setiap babak disusun dengan begitu teratur dan fasa penceritaan dipersembahkan dengan sempurna serta tidak menimbulkan kekeliruan ditambah pula dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami (selain bantuan sarikatalah).


Fasa terakhir cerita pula dimulakan apabila kaum Hobbit tersebut berjaya memasuki ke kaki gunung yang menjadi tempat batu permata itu berada. Sebelum mereka memasuki gunung tersebut, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh mereka. Usaha mereka menemui batu permata tersebut gagal selain gagal membunuh naga. Filem diakhiri dengan penangkapan ahli sihir kelabu oleh kaum Orc, persiapan peperangan oleh kaum Orc dan cubaan naga menyerang bandar tasik.

Secara keseluruhannya, bagi penulis cerita ini tidak sia-sia untuk ditontoni. Cuma, andai kalian pergi menonton sila elakkan duduk berhampiran sekumpulan manusia yang menonton dalam bilangan ramai (rombongan cik kiah) kerana kecenderungan mereka membuat bising akan mengganggu konsentrasi anda.

0 ulasan :