Gunung terletak di Negeri Sembilan;
7 pagi ramai yang tercatuk,
Tunggu yang lain di RnR Seremban.
23 orang datang sertai,
Pendakian 2 jam menuju ke puncak;
Ada yang datang dengan yang dicintai,
Ada yang datang dengan kakak.
Nurhuda nama pencadang,
Pertama kali ke Gunung Datuk;
Masing-masing terlepas pandang,
Jalan sebenar untuk masuk.
Ada lelaki ada perempuan,
Ada laju ada perlahan;
Dalam perjalanan unggas berkicauan,
Jadi peneman sepanjang perjalanan.
Tangga tinggi bergoyang-goyang,
Semua sepakat naik ke batu;
Bila di puncak melayang-layang,
Angin bertiup tersangat laju.
Masa turun ada yang berlari;
Mujur tiada berdahi jendol;
Ke sungai Gadut kami tujui,
Masing-masing melayan cendol.
Gunung Datuk merupakan salah satu gunung yang tertinggi di Negeri Sembilan. Terdapat banyak kisah-kisah yang berselindung di sebalik gunung yang berketinggian 884 meter ini. Tercetusnya idea mendaki gunung ini asalnya daripada cadangan kosong Nurul Huda yang mendapat sokongan daripada ramai ahli yang lain. Terdapat 27 orang yang meletakkan nama mereka dalam senarai pendaki, namun terdapat segelintir yang tidak kunjung tiba.
Secara amnya trek perjalanan gunung ini agak menegak semasa mendaki. Kesemua yang menyertai tidak pernah mendaki gunung ini sebenarnya. Lantaran menganggap perkara ini salah satu faktor tarikan dalam pendakian, maka hal ini menjadi pendorong utama untuk meneroka dan menerjah kehijauan alam yang terselindung di sebalik kehebatan gunung ini.
Pendakian bermula dengan sedikit taklimat ringkas keselamatan dan bacaan doa selamat. Terdapat juga beberapa pendaki otai yang turut memberikan kata-kata semangat sebelum perjalanan dimulakan. Pendakian yang mengambil masa hampir 2 jam naik dan 1 jam 8 minit turun sememangnya tersangat berbaloi.
Di atas puncak ini, angin bertiup kencang. Selain mengeringkan peluh yang sudah berselupat, pemandangan yang indah turut menghilangkan kepenatan pendakian. Dari puncak, selain dapat melihat pemandangan hutan hijau tropika yang berada di sekeliling, pendaki juga berpeluang melihat Selat Melaka yang terbentang.
Namun demikian, untuk sampai ke puncak ini, pendaki perlu menaiki tangga yang kelihatan seperti tangga bomba. Bagi yang gayat, mungkin hal ini menjadi salah satu faktor penolakan. Keselamatan sangat perlu diutamakan ketika menaiki tangga. Puncak gunung ini berlantaikan batuan besar yang tidak sesuai untuk melompat-lompat dan berlari-lari melainkan anda mempunyai polisi insurans yang turut melindungi kemalangan akibat aktiviti berkelas 4 seperti ini. Puncak ini juga hanya mampu menampung kurang daripada 100 orang dalam ssesuatu masa. Jadi, sesiapa yang sudah lama di puncak berilah peluang kepada yang lain untuk merasai pengalaman di puncak.
Apapun, pendakian ini tidak akan berjaya tanpa semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam kumpulan. Si Kerdil amat berterima kasih kerana masing-masing memainkan peranan yang baik terutama ketika turun dari batuan di puncak gunung ini. Jutaan terima kasih juga buat semua yang menjayakan pendakian ini!!
Nan Senting Dilabuhkan,
Nan Panjang Dikeratkan,
Nan Rumping Disisipkan.
*Teringat ayat seorang teman sweeper yang ditujukan kepada salah seorang peserta dengan nada bergurau, ,"Masa nak naik dah tahap pakai siku merangkak, time turun x nampak batang hidung langsung"
*Ada seorang pendaki yang pernah ke Nuang berkata,"Dah macam belacak kalau turun" walaupun yang lain berpendapat macam berudu
*Jutaan terima kasih buat para penyumbang gambar..aku x sempat nak snap pic langsung pakai handset..segan tengok kamera orang lain..
*Paling terharu, sebab dapat mesej mcmni
"Salam arif. Tksh byk2 sbb tlg byk utk hiking ni. Tlg nasihat, sms blaster, jd sweeper yg sabar, even tlg msk nasi goreng yg sedap!. Really appreciate your effort. I have great day today and really thank you.. apologize for any inconveniences..."
"rif..sgt baik kerja anda..tks byk bg moral support mse mendaki td
klu tk krn kata2 semnagat ko..tk smpi kot aku td..cewaaah..."
Serius..ilang segala penat..huhuhu
0 ulasan :
Catat Ulasan