Ahad, 26 Januari 2014

Hiking Log: Pine Tree Hills - Nilai Sebuah Persahabatan

Setiap tersurat pasti ada yang tersirat...Bertabahlah wahai hati...Inilah pelajaran sebuah kehidupan...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Sebenarnya, berat jari-jemari Si Kerdil untuk mengarang kisah perjalanan kami. Benarlah kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada sesiapa pun menyangka hari Ahad, 26 Januari 2014 menjadi hari yang panjang untuk dilalui.

Allahuakhbar.. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia dan segenap alam...

Usai menuruni bukit Broga pada hari Sabtu, 25 Januari 2014 Si Kerdil pantas mengemas segala keperluan untuk berkhemah di Sg Chiling. Mujurlah tempahan awal tapak khemah telah dibuat. Ekoran perjalanan dimulakan agak lewat, kami sepakat membatalkan niat untuk berkhemah di Sg Chiling. Sebaliknya kami teruskan perjalanan ke Bukit Fraser seperti yang disarankan oleh seorang sahabat. Di sana, kami berkhemah di kawasan wakaf yang terletak di tepi jalan utama.

Khemah dipasang, arang dibarakan, kambing dan ayam mula dibakar. Ada yang bergilir ke tandas berdekatan yang terletak hampir 200 meter dari kawasan khemah untuk berwuduk dan mendapatkan bekalan air yang bersih. Segalanya berjalan lancar laksana permainan okestra mengalunkan lagu-lagu syahdu. Kumpulan kami yang menjadi terawal tiba dengan bilangan 6 orang berhempas menyiapkan bbq ayam dan kambing sementara menanti ahli yang lain.

Lewat jam 10 malam, sekumpulan ahli kami tiba dengan bilangan 4 orang. peluang yang ada membolehkan kami yang terdahulu tiba berlari ke kawasan pekan utama Bukit Fraser untuk mengambil gambar. Usai bergambar, kami kembali ke khemah untuk tidur sambil menanti ahli kumpulan yang masih belum tiba. Ahli kumpulan terakhir tiba dalam lewat jam 2.30 pagi.

Allahu Ya Rahman..

Seawal jam 5 pagi sudah ada ahli kumpulan bangun menyiapkan sarapan ringkas sambil segelintir lagi mengemas kawasan tapak kami berkhemah. Seperti malam tadi, kami bergilir untuk berwuduk dan bergilir mengemaskan kawasan. Pagi yang sejuk dengan kabus yang lembap bisa menghanyutkan kami untuk terus tidur andai kami tidak cukup kuat dan tekad dengan niat asal untuk mendaki Pine Tree Hill.

Tepat jam 7.40 pagi kami tiba di kawasan letak kereta. Sambil menunggu seorang lagi ahli kumpulan yang tidak menyertai perkhemahan kami, 2 orang ahli ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Usai bersalaman dengan seorang teman yang tidak dapat menyertai pendakian, kami berjalan perlahan-lahan menuju ke titik permulaan pendakian. Segalanya berjalan lancar. Biarpun rancangan asal memulakan pendakian seawal 7.30 pagi terlewat. Secara rasmi kami mula mendaki jam 8.00 pagi. 45 minit mendaki, seorang teman mengambil keputusan untuk berpatah balik akibat kecederaan lutut. Tinggallah 12 orang meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, kami berjaya tiba di puncak Pine Tree dalam masa 2 jam dan tambahan 25 minit untuk ke Twin Peak.

Setelah puas berehat, kami mula menuruni puncak untuk ke tempat permulaan. Ketika ini, sedikit demi sedikit perjalanan kami diuji. Seorang teman yang sedari awalnya menunjukkan tanda-tanda pening kepala ketika di Twin Peak mengalami sedikit kesulitan akibat faktor kesihatan. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk berjalan biarpun perlahan.

Allahu Ya Rahim...

Kumpulan kami terpecah menjadi 2 kumpulan. 4 orang mendahului di hadapan meninggalkan kami 8 orang di belakang. Sememangnya, kami yang dibelakang diuji dengan pelbagai dugaan. Perlahan-lahan kami berlapan menuruni laluan denai Pine Tree Hill. Berkali-kali kami berhenti seketika bagi membolehkan sahabat yang tidak sihat berehat mengumpul kuderat. Ketika ini, Allah SWT sahaja yang tahu perasaan kami berlapan. Hutan kian berkabus dan gelap. Seorang demi seorang pendaki memintasi kami.

Dalam pada mereka memintasi kami, ada juga yang tidak kurang menegur kami. Menegur dengan cara yang agak berdesing untuk didengari. Tidak kurang juga dengan yang menyindir-nyindir kami selaku pendaki hingusan. bagi yang tahu kisah sebenar, pasti mereka memahami apa yang kami lalui. biarpun pahit untuk ditelan, namun itulah realiti yang ditempuhi.

Dari memimpin, memapah sehinggalah mendukung. Itulah yang mampu kami lakukan untuk bersama-sama keluar dari hutan tersebut. Bebanan yang dibawa sama-sama dikongsi.Mujurlah walkie-talkie masih berfungsi. Rakan di hadapan dihubungi. Memohon mereka mengalihkan kereta dari kawasan parking ke pintu masuk hutan tersebut. Jutaan terima kasih buat hamba Allah yang membantu memulihkan keadaan sahabat yang tidak sihat. Sesungguhnya jasa baik kalian tidak terhitung untuk dibalas oleh kami.

Usai tiba di pintu utama, Si Kerdil berjalan perlahan dengan seorang sahabat menuju ke kawasan parking kereta. Dalam hati bersyukur tidak terkata kerana berjaya keluar dari hutan tersebut biarpun menjadi kumpulan terakhir meninggalkan trek Pine Tree hill untuk hari itu. Dalam kala kami hampir tiba ke kereta, seorang sahabat memanggil dari kereta yang ditumpanginya dengan nada cemas mengatakan seorang sahabat yang banyak membantu rakan yang sakit ketika turun dari trek tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Allahuakhbar...

Itu sahajalah yang mampu disebutkan. kami bergerak pantas ke kereta dan terus ke pintu utama yang baru ditinggalkan. Ketika tiba, sahabat tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Beberapa pendaki lain turut membantu memulihkan beliau sebaik mungkin. Namun, akhirnya semua sepakat membawa sahabat tersebut ke masjid berdekatan berikutan cuaca semakin gelap. Ketika mengangkat sahabat tersebut, badannya tidak ubah seperti patung. Keras dan kaku. Berbekalkan saki baki kuderat yang tinggal, kami berjaya mengangkat sahabat tersebut ke dalam kereta.

Seorang pendaki yang tidak pernah kami kenali turut membantu mengiringi kami dalam kereta untuk ke masjid. Sesampai di masjid usaha tidak putus-putus memulihkan sahabat dilakukan. Alhamdulillah, dengan kerjasama para sahabat dan ahli jawatankuasa masjid, sahabat tersebut berjaya dipulihkan.Terima kasih teramat diucapkan buat kalian semua. Demi Allah, ketika sahabat tersebut mula menampakkan dirinya sedar, air mata Si Kerdil hampir menitis.

Ustaz yang membantu kami menyarankan kami bergerak selepas waktu Maghrib. Sebelum meninggalkan Tanah Tinggi Fraser, kami makan dahulu sebelum berangkat. Sebelum memasuki kereta untuk beransur, kedua-dua sahabat menunjukkan tanda-tanda tidak sedarkan diri. Sekali lagi semangat setiakawan kami diuji. berkat doa dan usaha, dalam keadaan mereka tidak sedarkan diri, kami tiba di kota metropolitan biarpun terlalu banyak perkara yang terjadi sepanjang perjalanan.

Pesanan disampaikan kepada ahli keluarga sahabat yang tidak sedarkan diri. memohon mereka dipulihkan. Dalam menanti mereka dipulihkan, yang lain sememangnya berdebar. Masakan tidak, mesej tidak berbalas, telefon tidak berjawab. Hanya iringan doa yang mampu kami kirimkan. Dan Alhamdulillah. Kini mereka sudah kembali setelah dipulihkan. Terpalit kelegaan di dada.

Bagi kami, pengalaman ini tersangat bermakna. Sememangnya berharga. Kami bersyukur dipertemukan dengan yang lain. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni.. Tiada kata mampu diucap bagi menggambarkan perasaan kami...Pengalaman ini mengajar kami erti persahabatan yang utuh. Peristiwa yang terjadi mematangkan dan mengajar kami pelbagai nilai-nilai kehidupan. Dan apa yang kami katakan pada yang bertanya, "Setiap gambar ada kisahnya.. Dalam setiap yang tersurat, pasti ada yang tersirat"...Kami Bersyukur KepadaMu Ya Allah....


















"26/01/2014 - Hari Ahad yang panjang untuk dilalui bak kata Mohamad Arif Iskandar. Pendakian ini mengajar kami erti persahabatan dan kemanusiaan. Meninggalkan seribu kenangan yg tak lekang dari ingatan", Aidil

"Manisnya persahabatan dalam susah & kepayahan.. 
di saat boleh memilih sama ada mahu berpeluk tubuh.. atau sama menghulur tangan & bahu menggalas dugaan.. 
Ternyata ukhwah kami kian utuh.. 
kami barangkali tidak bertahun saling mengenali.. tapi apa yg berlaku semalam, benar terkesan dihati .. 
Xkurang yg xdikenali berhenti cuba membantu.. di saat kami yg dah kepenatan semakin membuntu.. 

Kami mungkin bukan dikalangan yg terbaik.. tapi kami percaya.. setiap kekurangan blh dibaiki.. yg baik blh dikongsi.. 

Terima kasih xterhingga buat semua.. 
#Keep calm, be safe and let's hike. 

Camping & Hiking Pine Tree Hill Twin Peak - my expensive hiking experience. 2hours 30minutes to the Twin Peak, 5hours came back. ", Huda


"It worth taking the risk sometime. We are all pine tree hill inexperience hikers but today have the experience and the utmost important things is the memories that made our heart grow fonder, the difficulties that made our friendship grow stronger. Yesterday, we got to know each other better. The dos n donts when hiking. Some manage to fight his acrophobia. Some have shown a mesmerised teamwork, friendship, leadership. We collect these people based on their strength and today we saw their weekness which we will together improve for team betterment. Thanks to those who stopped by an extended their helping hands. Your guys superb! May Allah bless you", Liz

"Dan apabila di uji seseorang anak Adam itu,Maka bertabahlah..Bersangka Baik terhadap Ujian Allah,Nescaya itulah Jalan mempertingkatkan Keimanan seseorang hamba terhadap Penciptanya..", Ida

3 ulasan :

ayid berkata...

Aku trauma.. Sekian..

Joe berkata...

Alhamdullillah semua nya selamat kembali

roshidayahdayu berkata...

coming soon ,,,, next month hiking =D
minggu depan CBL terengganu nak hiking yeahh