Lokasi : Bukit Saga @ Bukit Apeh
Bukit Saga @ Bukit Apeh mungkin tidak menjadi salah satu tarikan para pendaki professional berikutan ketinggian yang ditawarkan. namun, sebagai pendaki hingusan seperti kami, kami percaya setiap Bukit atau Gunung ada tarikan tersendiri.
Setelah rancangan ini diuar-uarkan, Si Kerdil berjaya mengumpul 7 ahli yang lain untuk cuba mendaki bukit ini. Sejujurnya, kami berpendapat bukit yang lebih rendah daripada Bukit Broga ini mungkin tidak begitu sukar untuk didaki. Namun sangkaan kami sememangnya meleset. Biarpun perjalanan tidak mengambil masa berjam-jam, tetapi trek yang dilalui lebih sukar daripada Bukit Broga. Dari aspek sudut kecerunan, bukit ini saling tidak tumpah seperti Gunung Datuk. Bezanya, bukit ini lebih rendah dan lebih pendek jarak perjalanan.
Pada permulaan pendakian, pendaki akan dihidangkan dengan tangga yang agak menegak sebelum tiba di puncak Bukit Saga. Secara amnya, trek bukit ini memerlukan penelitian ketika dilalui. Pendaki yang mengetuai kumpulan kami sendiri ternampak kelibat ular yang menyusup melintasi trek memasuki kawasan semak. Sememangnya trek ini terdapat banyak pokok-pokok kelapa sawit serta pelepah-pelepah kering yang menjadi habitat pilihan utama sang penyusup. Ketika melewati puncak Bukit Saga, pendaki perlu menuruni bukit tersebut untuk ke Bukit Apeh. Ketika turun, awasi papan amaran kawasan lebah. Memang terdapat kawasan yang dipagari dengan papan amaran lebah.
Secara amnya, pendaki perlu menuruni bukit Saga sebelum menaiki Bukit Apeh. Seandainya pendaki ingin melihat air terjun kecil yang sememangnya cantik, pendaki perlu menuruni bukit Apeh pula sebelum tiba di kawasan air terjun. Pendakian mengambil masa 1 jam Setengah sehingga 2 jam untuk sampai ke air terjun yang mana hampir sama dengan pendakian Gunung Angsi.
Usai menunaikan solat asar dan makan juadah yang dibawa, kami beransur keluar. Bagi yang berminat untuk mendaki bukit ini, pastikan anda tidak memandang rendah dek kerana faktor ketinggian dan elakkan perjalanan di kala lewat petang (kami mendaki hampir jam 4 petang) kerana faktor keselamatan. Apapun, trek bukit ini sememangnya sangat sesuai untuk dijadikan tapak latihan bagi mengekalkan tahap stamina dan keupayaan diri.
2 ulasan :
Erm...bagus benar..
saya berharap tuan berbesar hati utk mngizinkan saya menggunakan beberapa gambar2 tuan bagi penghasilan poster aktiviti pendakian bukit saga dibawah anjuran pepias cawangan gombak .insyaallah ,kami tidak akan menyalahgunakan gambar2 tuan .terima kasih . - Noor Hasra ,Biro Media . :D
Catat Ulasan