Jumaat, 17 Januari 2014

Hiking Log: Tabur East - Kisah kami...


Bunyi notifikasi menandakan satu pesanan diterima kedengaran datang dari telefon bimbim model Sony X Peria J. Satu pesanan ringkas di terima dari rakan melalui aplikasi Facebook.
"Saya sebenarnya x berapa ambitious sangat nak naik Tabur"

Pesanan yang diterima menyebabkan Si Kerdil agak tergamam. Asalnya idea mendaki Bukit Tabur terpacul ketika kami semua turun dari Gunung Datuk. Ketika itu ramai yang bersetuju menyertai eksplorasi tersebut. Namun, lantaran terdapat tragedi yang terjadi 2 hari kemudiannya, seorang demi seorang menarik diri. Seribu satu cerita mula terhasil. Sehari sebelum tragedi itu, pelbagai idea tercetus untuk menjadikan eksplorasi Bukit Tabur suatu kenangan yang unik. terutamanya idea berpakaian tradisional.

Hati mana yang tidak goyang seandainya menerima pesanan ringkas berbaur amaran agar tidak meneruskan rancangan asal kami. Si Kerdil sendiri turut menerima beberapa pesanan yang agak mengganggu fikiran, begitu juga teman-teman yang lain.

Setelah melalui beberapa proses saringan, akhirnya 9 orang daripada kami bersedia mendaki bukit tersebut. Ketika tiba di titik permulaan, seorang daripada kami menarik diri akibat sebab yang tidak dapat dielakkan. Asalnya, kami sepakat menjadikan beliau ketua eksplorasi kerana pengalaman beliau yang luas. Berbekalkan dengan ilmu panjang sekail, Si Kerdil mengetuai perjalanan dan dibantu beberapa rakan lain untuk menjadi orang tengah (middle man) dan pendaki terakhir (sweeper).

Sejujurnya, Si Kerdil merasakan pendakian kali merupakan satu tanggungjawab yang besar. Daripada 8 orang peserta, separuh daripadanya tidak berpengalaman sama sekali untuk menaiki bukit ini yang sememangnya trek perjalanannya berbeza dengan bukit atau gunung yang pernah mereka daki. Barangkali bersama mereka masih terbayang-bayang berita yang terpampang di dada akhbar mengenai tragedi-tragedi yang pernah berlaku di sini. Dan barangkali juga ada yang masing terimbas pesanan-pesanan yang mereka terima mengenai keberhantuan bukit ini sama ada secara verbal atau bertulis.

Perjalanan kami dimulakan dengan bacaan doa bagi memohon dipermudahkan segala kesulitan sepanjang perjalanan. Sepanjang perjalanan, masing-masing sentiasa diingatkan agar mengamalkan sifat berhati-hati dan sentiasa membantu yang lain. Biar lambat asal selamat. Setiap ceruk laluan kami lalui biarpun curam dan sempit. Ketika ini perkara utama yang perlu ada ialah kerjasama. Tiada guna kalau kita sampai dahulu seandainya rakan pendakian yang lain terkontang-kanting mencuba untuk mendaki.

Setelah berhenti di beberapa kawasan, akhirnya kami tiba di puncak terakhir yang memerlukan pendakian yang agak menegak. Ketika ini, semua sepakat untuk terus menaiki biarpun ada yang masih bergundah gulana. Manalah tidaknya, seperti yang kita ketahui sepanjang trek perjalanan yang ada di kiri kanan kami hanyalah gaung. Laluannya juga sempit. Batuannya tajam-tajam belaka. Jika ada yang teratuh, pasti akan tercedera. Barangkali juga mungkin menambah statistik tragedi.

Pendakian naik puncak terakhir akhirnya diteruskan. Kami mendaki dengan perlahan-lahan. Peringatan berantai disampaikan dari atas ke bawah untuk mengelakkan ada yang terlepas pandang risiko yang ada. Akhirnya, biarpun kami mengesot seperti siput, kami selamat tiba di puncak tertinggi Bukit Tabur East.

Setelah menemui lokasi yang sesuai untuk makan, tikar dibentang dan makanan disajikan. Oh..Seperti perkelahan keluarga. Makanan yang masih berbaki dikongsikan bersama beberapa pendaki lain yang turut mendaki. Selain menambah kenalan yang mempunyai minat yang sama, kami turut berkongsi pengalaman masing-masing. Usai makan, sesi bergambar dengan tema pakaian diteruskan. Situasi cemas terjadi sebelum bergambar apabila kamera dslr (mahal tu) seorang teman terjatuh bergolek. Mujur tidak bergolek terus. Sebelum meninggalkan puncak, kami pastikan agar tiada sebarang sampah yang tertinggal. Semua perlu dibawa turun. Prinsip kami, "Jangan tinggalkan apa yang anda bawa di belakang". Kami pencinta alam dan niat kami mendaki tidak lain untuk melihat keindahan alam ciptaan Ilahi, bukan kerana nama atau mengejar sifat riak. Ingatan itu masih kami pahat dalam kepala.

Perjalanan menurun dimulakan. Menuruni laluan yang kami naiki sebentar tadi. Laluan yang kami naiki tadi bersudut hampir menegak dan laluan itulah juga yang perlu kami turuni. Ketika ini, Allah sahaja yang tahu hati Si Kerdil. Entah mengapalah ketika turun jantung Si Kerdil berdegup kencang walhal ini bukan kali pertama melalui laluan ini. Sudahlah jantung berdegup kencang, kaki dan tangan pula menggeletar. Si Kerdil diamkan sahaja.

Perlahan-lahan kami turuni laluan tersebut. Dalam ketika menurun, Si Kerdil sentiasa melihat ke atas bagi membolehkan rakan-rakan yang lain dibantu apa-apa yang boleh. Kalau naik, kita boleh mengagak kedudukan tangan dan kaki kerana kita lihat dulu baru lalu. Tapi ketika turun, memang lain. Macammanalah hendak melihat bawah, sudahlah tinggi gayat pula.

Ada rakan yang turut menggigil kaki ketika turun. Ada juga yang dimarah kerana sempat mengambil gambar melalui kamer telefon bimbit yang diletakkan di dalam beg galas. Ada yang sentiasa mengingatkan yang lain. ketika ini semua memainkan peranan kerjasama yang sangat baik laksana pementasan okestra. Kalau hendak buat team building dan mahu kurangkan kos, bawa saja peserta ke sini, pasti objektif tercapai.

Akhirnya semua selamat turun di laluan curam tersebut dengan jayanya. Alhamdulillah kerana segala dipermudahkan. Kelihatan senyuman yang terpancar di muka rakan pendaki lebih bersinar berbanding ketika naik tadi. Perjalan diteruskan melalui hutan kecil menuju ke kawasan perumahan terdekat. Ketika menghampiri kawasan perumahan, kami masih bertenaga untuk berlari dan melompat untuk bergambar sebelum ke kereta.

Terima kasih buat semua kerana menjayakan eksplorasi kali ini. Si Kerdil sangat berbangga dengan sifat kerjasama yang ditunjukkan.
*You guys are great team player!!!

















Credit to Bro Sham for the vid....

1 ulasan :

Ida Kushairi berkata...

terbaik..you guys memamg hati kering..alhamdulillah...semuanya dipermudahkan..for overall ,am enjoying your writing...